Posts

Showing posts from November, 2022

Sebutan Baku Bite-Size 5: Tiada siapa yang dapat bercakap dengan Sebutan Baku

Image
Tiada siapa di Singapura yang dapat bercakap menggunakan Sebutan Baku. Yang mampu diamalkan ialah sebutan hibrid (campuran Sebutan Baku dan Sebutan Johor-Riau). Pembaca berita di saluran televisyen Suria golongan yang paling dekat sebutannya dengan Sebutan Baku tetapi mereka membaca, bukan bercakap. (Mukhlis & Sa'eda, 2021)

Sebutan Baku Bite-Size 4: Sebutan Baku dipaksakan ke atas Bahasa Melayu Standard

Image
Sebelum Sebutan Baku (SB) diperkenalkan, Bahasa Melayu Standard (BMS) dan Bahasa Melayu Basahan (BMB) kedua-duanya dituturkan dengan Sebutan Johor-Riau (SJR). Dasar SB bertujuan memutuskan keterikatan antara dua dialek sosial ini apabila ia membataskan penggunaan SJR hanya kepada BMB manakala untuk BMS penutur diwajibkan menggunakan SB. Menukar-nukar loghat dalam kalangan anggota bahasa yang sama adalah anjuran yang sukar diamalkan oleh mana-mana kumpulan penutur bahasa.  (Mukhlis, 2019;  Mukhlis & Sa'eda, 2021 )

Sebutan Baku Bite-Size 3: Sebutan Baku tiada penutur jatinya

Image
Sebagai sebutan yang direka, Sebutan Baku tidak muncul secara semula jadi, oleh itu tiada penutur jatinya (rujuk Bite-Size 1).  (Mukhlis, 2019; Mukhlis & Wee, 2021; Mukhlis & Sa'eda, 2021)  

Sebutan Baku Bite-Size 2: Sebutan dalam filem Melayu lama bukan Sebutan Baku

Image
Sesetengh pihak menukil filem Melayu lama sebagai bukti Sebutan Baku sudah lama wujud. Ini suatu kekeliruan. Yang dituturkan bukan Sebutan Baku tetapi Kelainan /a/ (satu antara dua sebutan baku Bahasa Melayu yang wujud secara semula jadi). Kelainan /a/ ialah sebutan baku yang muncul secara tabii bagi penutur bahasa Melayu di utara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak. Ia juga sebutan yang lazim kedengaran dalam lagu dan puisi. Sebutan baku tabii yang satu lagi ialah Kelainan / ə / (dipanggil juga Sebutan Johor-Riau - SJR) yang bermula di selatan Semenanjung dan lebih luas perngaruhnya berbanding Kelainan /a/. Sebutan Baku pula ialah sistem sebutan rekaan yang diperkenalkan MABBIM pada tahun 1970-80an dan dipaksakan ke atas masyarakat melalui perundangan (Malaysia pada tahun 1988 tetapi dimansuhkan pada tahun 2000; Singapura pada tahun 1993 dan dipertahankan hingga kini).  (Mukhlis, 2019; Mukhlis & Sa'eda, 2021)

Sebutan Baku Bite-Size 1: Sebutan Baku bukan sebutan yang baku

Image
'Sebutan Baku' ialah nama bagi sistem 'sebut sebagaimana yang dieja'. Namanya sahaja mengandungi kata 'Baku' tetapi ia tidak memenuhi kriteria sosiolinguistik sebagai sebutan yang baku atas sebab  ia tidak bermula sebagai sebutan dialek yang sedia ada yang ada penutur jatinya dan melalui proses pembakuan. Sebaliknya,  ia dibuat-buat dan  dipaksakan ke atas masyarakat.  Sebagai perbandingan, Sebutan Johor-Riau (sesetengah sarjana menamakannya Kelainan / ə /) memenuhi kriteria sosiolinguistik dan merupakan sebutan yang baku bagi orang Singapura dan di Semenanjung Tanah Melayu lama sebelum Sebutan Baku diperkenalkan melalui perundangan. (Mukhlis, 2019;  Mukhlis & Wee, 2021)